
BALANG KOSONG
“Aku tiada, yang ada Hanya Dia”
Assalamualaikum
Segala puji hanya bagi-Nya, Tuhan yang mencipta tujuh petala langit dan tujuh petala bumi. Diri ini tiada memiliki daya dan upaya, walau sezarah zarah sekalipun. Segalanya hanyalah atas izin-Nya jua. Diri ini tiada lain, cuma sebagai tempat laluan sementara, meminjam nafas dari yang Maha Kekal. Dengan izin-Nya, tuan hamba kini berada di laman Tok. Tujuan laman ini bukan untuk menunjuk pandai, jauh sekali mencari nama. Sekadar usaha Tok mengikat silaturrahim dengan mereka yang pernah bersua Tok di alam maya. Mana tahu, ditakdirkan bersua, boleh juga menambah kenalan.
Tok jenis mempunyai hobi yang berubah-ubah. Tok suka masuk hutan, daki gunung, selam kelautan, berniaga, memberi buah fikiran, mengubah lagu, bermain muzik dan macam-macam lagi. Pernah juga Tok rakam dua buah lagu sendiri. Boleh cari nama TOK PUTIH di YouTube, Spotify, iTunes atau aplikasi karaoke.
Tok juga suka menjejak perkara-perkara spiritual. Pernah tidur sendirian di tengah hutan hanya kerana hati ini terasa dipanggil. Ketika kes Acap hilang dulu, Tok turun sendiri, bermalam di sana. Bukan semua pengalaman sempat Tok rakam, namun paling terkesan — pernah bersua dengan kaum bunian.
Tok dari zaman internet dial-up. Facebook belum lahir, Google pun belum ada. Waktu tu Tok dah mula belajar buat laman web. Zaman Friendster, MySpace dan mIRC, Tok dah ada Chanel Kampung. Waktu tu semua orang sibuk hias page dengan kod, Tok sibuk belajar cara tarik manusia ke laman jualan. Bila Facebook dan Google muncul, Tok antara yang orang awal letak iklan. Kos iklan waktu tu… murah tak terperi, sebab belum ramai yang tahu.
Waktu itu bila Tok kata Tok berniaga Online, ramai pandang sinis. “Boleh ke buat duit? Berapa sangat boleh dapat?” Ada pula kata Tok jual dadah. Padahal Tok rokok pun tak isap. Tok mula dari zaman pakai telefon Motorola sebesar bata, sebelum datang Nokia. Semua jenis Nokia Tok pernah guna. Dunia ini berubah sekelip mata.
Tok suka ziarahi jiwa manusia. Kerana di situlah Tok sedang melihat ke dalam diri sendiri. Tok suka lihat orang gembira. Bila Tok dapat bantu seseorang walau secebis, dan Tok nampak senyuman syukur dari wajahnya, itulah makna kebahagiaan pada Tok. Harta sebenar bukan pada emas perak, tapi pada jiwa yang tenang.
Tapi dunia ini bukan untuk ditakluk dengan senjata, tapi dengan keadilan. Tok selalu tanya — kenapa RM1 tak sama nilai dengan USD1? Sedang kedua-duanya cuma kertas ciptaan manusia. Nilai ini palsu. Tok percaya sistem wang hari ini sudah hilang roh dan tak relevan untuk zaman sekarang. Sudah tiba masanya ia ditimbang semula.
Setakat ini dahulu, saudara…
Jika ada jodoh, kita bersua lagi.
